Pengikut

Ahad, 11 Disember 2016

KEUTAMAAN BERBEKAM.
Di dalam agama Islam, amalan berbekam adalah merupakan sunnah para rasul, sebagaimana yang tertera di dalam hadis yang bermaksud :
“Lima hal termasuk sunnah para rasul, iaitu malu, pemaaf, bekam, siwak dan memakai wangian.”( Hadis riwayat Thobrani dan Ibnu Jarir, dan hadis ini memiliki riwayat pendukung yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas).
Berbekam adalah merupakan amalan yang sangat-sangat diutamakan oleh Rasulullah s.a.w ketika hendak merawat penyakit, mahu pun untuk mengelakkan penyakit. Bahkan baginda juga sangat-sangat menggalakkan para sahabatnya melakukan amalan berbekam ini. Terdapat banyak hadis-hadis yang menyangkuti saranan berbekam ini. Di antaranya ialah seruan penghuni langit, iaitu para malaikat, ketika berlakunya peristiwa israk dan mikraj :
Dalam riwayat Tirmizi  dari Ibnu Mas’ud dan riwayat Baihaqi :
“Aku tidak berjalan di hadapan sekelompok malaikat pun  pada malam ketika aku diisrakkan, kecuali mereka berkata, ‘Wahai Muhammad, perintahlah umatmu agar berbekam!’” (Sohihul Jami’ : 5671)
Dari Ibnu ‘Abbas r.a :
“Tidaklah aku berlalu di hadapan sekelompok malaikat pun pada malam ketika aku diisrakkan, kecuali masing-masing dari mereka pasti mengatakan kepadaku, ‘Muhammad, hendaklah kamu berbekam!”(Sohihul Jami’ : 5672, Al-Misykat : 4554).
Bayangkanlah, ketika di malam peristiwa yang amat bersejarah itu, ketika Rasulullah s.a.w di dalam perjalanan menemui Allah s.w.t, dan malam di mana perintah mengerjakan solat secara rasminya disyariatkan kepada umat Islam, para malaikat pula menyeru agar nabi Muhammad s.a.w dan umatnya berbekam. Ini menunjukkan betapa amalan berbekam bukanlah sesuatu yang harus diremehkan.
HADIS-HADIS BERKAITAN BEKAM
Selain daripada dua hadis yang telah dinyatakan di atas tadi, tedapat beberapa lagi hadis yang berbicara mengenai kehebatan amalan bekam. Ini sekali lagi menunjukkan betapa aktiviti berbekam itu mempunyai manfaat yang besar kepada umat manusia, dan tidak seharusnya ia dipersia-siakan.
Silalah memperhalusi hadis-hadis berikut bagi memperkuatkan keyakinan anda terhadap kegiatan bekam sebagai penyembuh dan pencegah penyakit yang sangat berkesan :
1.      Dari Ibnu ‘Abbas r.a :
“Kesembuhan itu terdapat pada tiga hal, yakni minum madu, sayatan alat bekam, dan ‘kay’ dengan api. Sesungguhnya aku melarang umatku dari ‘kay’” (Sahih al Bukhari, At Thibb, Juz 1, halaman 5680)
2.      Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a ia berkata : Saya pernah mendengar nabi bersabda :
“Jika ada yang terbaik pada ubat-ubatan kalian, maka itu terdapat pada sayatan alat bekam, minuman madu, atau sundutan dengan api (kay) yang tepat pada penyakit. Tetapi aku tidak sukat berubat dengan ‘kay’”(Sahih al Bukhari)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan